Tugas menjaga dan mendidik anak juga seharusnya dibuat bersama |
Setelah seharian di tempat kerja, kepenatan adalah sama. Maka, tidak sesuai jika hanya isteri yang bertungkus-lumus seorang diri di rumah. Andai si isteri menjawat status suri rumah sepenuh masa sekali pun, bukan bererti si isteri tidak berhak dibantu si suami.
Maklumlah, kepenatan menguruskan rumah tangga sebenarnya lebih penat berbanding kerja harian di pejabat. Malangnya, tidak ramai suami yang bersedia membantu kerja-kerja rumah. Jangan bimbang, setiap masalah mempunyai jalan penyelesaian. Ini bererti si suami boleh diajak untuk turut serta membantu kerja-kerja anda di rumah.
Mohon bantuan sejak awal kahwin
Perkara paling utama adalah dengan meminta bantuan suami sejak awal perkahwinan. Insya-Allah jika sejak mula anda telah membiasakan suami untuk membantu anda, tidak akan ada masalah lagi di belakang hari.
Masalahnya, ramai isteri yang hendak tunjuk hebat pada awal perkahwinan. Semua dia hendak buat hinggakan suami mahu menolong pun tidak dibenarkan. Apabila sudah lama berkahwin dan memiliki anak-anak, suami yang sudah terbiasa akan order sahaja. Sukar untuk mengubah perangai.
Saya faham dan tahu niat baik anda iaitu untuk menjadi seorang isteri yang solehah. Jadi, saya tidak melarang malah saya sokong tapi kenalah bijak mengatur cara. Mungkin pada awal usia perkahwinan, nilai cintanya masih tinggi. Tidak mungkin pada waktu itu hendak ‘melenting’ kerana disuruh buat kerja-kerja rumah.
Padahal semua kerja-kerja tu adalah kerja-kerja biasa yang juga dilakukan oleh seorang lelaki bujang, bukan? Ingat! Mempunyai isteri bukan bermaksud anda mempunyai pembantu rumah.
Minta suami menemani ketika melakukan kerja rumah
Cara paling baik untuk minta suami menolong anda adalah dengan meminta suami menemani ketika melakukan kerja-kerja tersebut. Sebagai contoh, ketika sama-sama penat sampai ke rumah daripada tempat kerja, ajaklah suami temankan anda di dapur untuk memasak.
Mungkin suami anda akan mengelak sebab hendak rehat sambil membaca akhbar atau menonton televisyen. Jangan marah dulu. Pujuk dengan lembut. Anda boleh beritahu bahawa ada cerita menarik yang anda mahu kongsi dengannya ketika itu juga. Jika itu alasan anda, pastikan anda benar-benar mempunyai cerita menarik.
Cuba biasakan lakukan kerja-kerja rumah di depan matanya agar dia tahu betapa kalutnya anda! Jika anda hendak lipat baju, bawa baju-baju tersebut ke tempat suami anda berada seperti di depan televisyen. Dalam anda melakukan kerja-kerja tersebut, luahkan rasa penat anda dan luahkan juga keseronokan anda jika suami anda dapat membantu.
Luahkan keseronokan jika dibantu suami
Jika suami masih pura-pura tidak dengar, ketika inilah anda perlu cakap terus-terang, minta suami anda membantu anda. Hendak meminta suami bantu anda pula, kenalah secara berhikmah. Ingat! Jangan mendesak atau mengarah!
Suami memang pantang menerima arahan isteri. Sebaliknya mulakan dengan perkataan ‘tolong’ dan ucapan dalam nada yang lembut, seakan-akan merayu. Kalau guna perkataan tolong tapi dengan nada yang keras, takkan berkesan. Bimbang nanti anda pula ditempiknya.
Kepada isteri yang telah terbiasa melakukan segalanya seorang diri, jangan bimbang kerana anda boleh memulakannya daripada sekarang.
Cara paling baik adalah dengan mencari masa yang sesuai dan luahkan hasrat hati anda. Katakan padanya betapa anda seronok jika dia dapat bantu anda uruskan rumah tangga seperti pasangan lain yang sudah lama melakukannya. Jika cubaan pertama gagal, cuba lagi bila-bila dan jangan putus asa.
Amalkan surah al-Insyirah
Pada masa yang sama, berdoa minta Allah lembutkan hati suami. Boleh amalkan bacaan Surah al-Insyirah sebagai doa pelembut hati.
Ketika memasak atau sediakan minuman, bacalah ayat-ayat tersebut sambil niatkan di dalam hati agar suami mahu membantu anda. Isteri suri rumah sepenuh masa pun boleh cuba lakukan yang sama.
Sekurang-kurangnya suami membantu anda waktu hujung minggu, dapat jugalah sesekali anda beristirehat.
Kepada para suami, tugas menguruskan rumah tangga dan anak-anak bukanlah tugas dan tanggungjawab isteri anda sahaja. Lakukanlah bersama-sama, insya-Allah akan bertambah semarak cinta.
sumber: kosmo
1 ulasan:
isteri jugak bukanlah sekadar roommate.. its a soulmate.
Catat Ulasan