VIP

Jelitaku-MK

Jumaat, 11 Mac 2011

Jangan memandang rendah pada orang lain


Maksudnya : Rasulullah s.a.w bersabda, "Tidak akan masuk syurga orang yang di hatinya ada sebesar zarah perasaan sombong."

Berkata seorang lelaki, 'Sesungguhnya seseorang itu suka pakaiannya cantik dan kasutnya cantik. Rasulullah s.a.w bersabda, "Sesungguhnya ALLAH itu indah dan sukakan keindahan. Sombong ialah menolak kebenaran dan memandang rendah kepada manusia."

Di dalam hadith ini kita dapati Islam amat menentang sifat sombong, takbur dan apa sahaja yang melambangkan keangkuhan. Tiada manusia berakal yang berani menafikan betapa buruknya sifat ini apabila ia mula menjadi tabiat dalam diri seseorang. Oleh itu Islam datang membawa penegasan tentang keburukan dan kemudharatan sifat ini, bukan sahaja di dunia ini, malah kesannya turut berkekalan sehingga ke akhirat.

Mungkin secara teorinya, kita belum memahami apa yang dimaksudkan dengan memandang rendah kepada orang lain. Saya kongsikan satu situasi dengan anda semua.

Satu hari, seorang professor ingin menyeberang sungai dengan sebuah sampan yang didayung oleh seorang pendayung sampan. Di tengah-tengah sungai, terjadilah perbualan antara si professor dan juga si pendayung sampan tersebut.

Professor : Kamu tahu membaca dan menulis?

Pendayung : Tidak, saya buta huruf.

Professor : Kalau begitu, kamu sudah hilang separuh daripada kehidupan kamu.Orang yang tidak pandai menulis dan membaca seolah-olah hilang separuh keupayaan untuk hidup. Kamu ada membuat simpanan wang di bank?

Pendayung : Tidak, pendapatan saya hanya cukup-cukup makan sahaja. Macam mana hendak simpan duit?

Professor : Kalau begitu, kamu hilang separuh lagi kehidupan kamu. Mana mungkin orang yang tiada wang boleh hidup dengan selesa pada masa tua nanti?

Sampan terus bergerak. Sampai di tengah sungai, tiba-tiba sampan itu bocor. Air masuk dengan banyaknya dan sampan hampir tenggelam. Si pendayung sempat bertanya kepada professor,

Pendayung : Tuan, apakah tuan pandai berenang?

Professor : Err... saya tidak tahu la. (dalam keadaan panik)

Pendayung : Kalau begitu, tuan akan kehilangan seluruh hidup tuan.

Apa pengajaran kisah ini?

Tuhan tidak mencipta manusia itu bodoh. Sebaliknya Tuhan mencipta manusia dengan kebijaksanaan yang berbeza. Setiap kita mesti mengenal di mana kebijaksanaan itu dan meningkatkannya ke tahap maksimum. Jangan rasa bahawa diri ini hina, sebaliknya binalah keyakinan diri. ALLAH menciptakan setiap manusia untuk berjaya.

Ketahuilah bahawa harta, pangkat, rupa hatta ilmu itu adalah pinjaman daripada ALLAH S.W.T. Ianya bertujuan untuk menguji iman kita semua. Siapakah anda dan saya sehingga kita begitu angkuh lalu memandang rendah manusia lain? Inilah keburukan sikap sombong yang menjadikan manusia lupa asal usulnya. Walaupun manusia berbeza dari pelbagai segi, namun Islam melarang kita memandang rendah kepada orang lain. Orang yang sombong akan merasakan dirinya lebih tinggi dari orang lain. Setiap pendapat, pandangan dan cadangan orang lain semuanya dilihat lebih ’rendah’ dan tidak perlu diberikan perhatian. Mereka akan sentiasa mencari jalan keluar untuk menolak pandangan orang lain, walaupun merugikan mereka di dunia dan akhirat!

4 ulasan:

Mila@Rimbun berkata...

bersederhana dlm hidup.. memandang ke atas anda tak rasa terhina, memandang kebawah anda tidak menghina..

Kak Sam berkata...

Assalamualaikum...
Tq krn sudi singgah kat my homework. Sebagai manusia kita saling perlukan antara 1 sama lain. Dan juga dunia ini ibarat roda sekejap kita di atas dan sekejap di bawah. Jadi tak perlu le kita memperkecilkan orang lain.

Kak Imun berkata...

Salam, rinie. Betul tu, kita tak perlu memandang rendah terhadap org lain kerana kita pun manusia biasa yg pastinya ada kelebihan dan kekurangan masing2.....:)

rinie din berkata...

tq k.mila, kak sam & myfrin, sama2 ingat mengingatkan kerana terkadang kala kita lupa.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...